LAHAD DATU – Seorang wanita warga emas maut terkena renjatan elektrik ketika memetik mangga di kebunnya di Kampung Terusan, Jalan Lahad Datu-Kunak di sini, semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, Sarimah Dalam, 58, dipercayai memetik buah itu dari pokoknya menggunakan alat menjolok diperbuat daripada logam kira-kira pukul 10 pagi.
“Tanpa disedari mangsa, sewaktu mengambil mangga alat itu tersangkut pada wayar elektrik di kawasan berkenaan.
“Mangsa yang terkena renjatan elektrik kemudian rebah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nasri, mangsa yang ditemui keluarganya terbaring kemudian dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan doktor bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat melecur 90 peratus.- BERNAMA











