Maritim tahan kapal bersauh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Maritim tahan kapal bersauh tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan menahan tiga kru dan sebuah kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 2.8 batu nautika (5.1 kilometer) dari Barat Daya perairan Banda Hilir dekat sini semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Amran Daud berkata, dalam kejadian pukul 7 malam itu, kapal dagang yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor itu gagal menunjukkan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut. 

“Kapal itu dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Melaka oleh sepasukan anggota peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi harian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ditahan terdapat sebanyak 22 orang kru kapal termasuk ketua yang berusia antara 20 hingga 51 tahun. Bagaimanapun daripada jumlah itu hanya tiga kru yang diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua anak kapal berasal dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia serta pekerja tempatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. 

Jika sabit kesalahan kata, pihak terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Amran, kes itu merupakan yang kesembilan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras serta menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini