PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri merampas peralatan menangkap ikan yang dipercayai bubu naga dalam Op Pertiwi dan Op Khas Pagar Laut di perairan Kuala Muda, Penaga, di sini semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, semasa rondaan kira-kira pukul 1 petang semalam, bot Maritim Malaysia mengesan bubu naga yang dipasang tanpa pengawasan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya merampas sebanyak 10 unit bubu naga tersebut dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban di sini.
Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan dengan cara menggunakan peralatan haram iaitu bubu naga.
“Maritim Malaysia memandang serius kesalahan ini kerana penggunaan peralatan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan negara.
“Ini kerana sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial sekali gus memberi kesan buruk kepada sumber hasil laut dan memusnahkan ekosistem,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. -UTUSAN ONLINE











