MEXICO CITY – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona meletakkan jawatan sebagai jurulatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados atas alasan berdepan dengan masalah kesihatan, kata peguamnya.
Maradona, 58, hanya sempat menyandang jawatan itu selama sembilan bulan sahaja selepas mendapat nasihat doktornya untuk menjalani pembedahan di bahu dan lutut dengan segera.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan yang diberikan Durados dan akan terus kekal menyimpan impian yang sama di masa akan datang,” kata peguam, Matias Morla menerusi Twitter.
Sebelum ini ramai yang mempertikaikan keputusan Maradona untuk melatih Dorados pada September 2018, sebuah kelab yang terletak di kawasan Barat Sinaloa yang lebih terkenal dengan kartel dadah berbanding bola sepak itu.
Bagaimanapun kritikan itu langsung tidak menjejaskan tugasnya yang hampir berjaya membawa Dorados dinaikkan pangkat ke divisyen satu sebanyak dua kali.
Pada April lalu juga, Maradona sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab tersebut atas alasan pengadil liga divisyen dua terlalu berat sebelah dalam membuat keputusan terhadap pasukannya. – AFP











