KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara mempamer aksi seperti yang dijangkakan apabila membelasah Singapura 12-0 dalam Kejohanan Siri Akhir FIH di Banbridge, Ireland, pada petang Ahad (tengah malam Isnin waktu Malaysia).
Pertahanan veteran, Nuraini Rashid meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12, 28 dan 35 dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung dalam hujan dengan suhu 13 darjah Celsius.
Malaysian Tigress yang berada di ranking ke-22 dunia membuka tirai jaringan melalui Hanis Nadia Onn menerusi pukulan padang pada minit kesembilan, diikuti Surizan Awang Noh (m19) dan Kirandeep Kaur (m21).
Skuad Muhammad Dharma Raj Abdullah itu terus berpesta gol ke atas pasukan ranking ke-35 dunia, Singapura pada separuh masa kedua apabila menambah jaringan menerusi Nurmaizatulhanim Syafi (m39), Siti Zulaikha Husain (m42 dan 47), Fazilla Sylvester Silin (m44) dan Wan Norfaiezah Saiuti, minit ke-51.
Pemain pertahanan, Raja Norsharina Raja Shabuddin menyempurnakan kejayaan berganda apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada detik akhir perlawanan separuh masa kedua untuk mengutip mata penuh, dan kekal di tempat kedua kumpulan di belakang tuan rumah, Ireland.
Dengan kemenangan itu, Malaysia hampir pasti mengesahkan tempat ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, melainkan Singapura berjaya mencipta kejutan menewaskan Ireland dalam perlawanan terakhir Kumpulan A esok.
Malaysia memulakan kempen dengan aksi yang memberangsangkan serta memberi saingan sengit apabila tewas 1-2 kepada pasukan ranking kelapan dunia, Ireland pada Sabtu.
Dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Tigress Malaysia akan berdepan pasukan ranking ke-19 dunia, Republik Czech esok.
Juara kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir manakala tangga kedua dan ketiga ditentukan dalam peringkat kalah mati. – BERNAMA











