Majlis Aidilfitri di masjid suburkan keharmonian antara kaum - Utusan Malaysia

Majlis Aidilfitri di masjid suburkan keharmonian antara kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Penganjuran majlis Aidilfitri oleh pihak masjid yang dihadiri masyarakat berbilang kaum merupakan amalan baik bagi mewujudkan suasana harmoni dan persefahaman antara kaum.

Ia juga sejajar dengan gagasan rahmatan lil alamin iaitu satu pendekatan besar yang dibawa oleh pihak kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara rahmah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, bagi mencapai matlamat itu kerajaan juga memperkenalkan konsep Masjid Rahmah yang menerapkan kriteria aman, harmoni, mesra dan hormat pada institusi masjid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, sehubungan itu kehadiran masyarakat bukan Islam dapat membina persefahaman selain menyemarakkan perpaduan.

“Sebagai negara berbilang kaum, kita harus memperkukuhkan keharmonian melalui pelbagai cara termasuk penganjuran aktiviti komuniti di masjid.

“Ia juga satu pendekatan berhemah kerana secara tidak langsung kita membuka pintu masjid untuk dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Masjid Muhammadiah di pekarangan masjid itu yang terletak di Taman Tasek Jaya di sini hari ini.

Majlis ini merupakan penganjuran tahunan pihak pengurusan Masjid Muhammadiah atau dikenali sebagai Masjid Cina dengan kerjasama JAIPk.

Turut hadir Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr. Fadzli Cheah dan Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohamed Arib Aliah.

Mengulas lanjut kata Mohd. Yusop, usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

Sementara itu, Fadzli Cheah yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh memberitahu, kira-kira 700 orang hadir pada majlis berkenaan.

Katanya, kehadiran wakil-wakil daripada persatuan masyarakat Cina setempat juga mengukuhkan kerhamonian yang sedia terjalin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini