Macam mana nak hambat JDT? - Utusan Malaysia

Macam mana nak hambat JDT?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS enam musim berturut-turut mengungguli Liga Super, itu bermakna sama ada Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri atau pesaing mereka ketinggalan selangkah di belakang.

Sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih Harimau Selatan pada 2013, banyak perubahan drastik dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, biarpun pada awalnya cara beliau kurang disenangi kerana dilihat seperti ‘merompak’ khazanah pasukan lain.

Bagaimanapun, jika pada beberapa tahun pertama Tunku Ismail cenderung menghimpunkan pemain-pemain terbaik tempatan, sehingga ada daripadanya sekadar menjadi pemanas bangku simpanan, namun sedikit demi sedikit beliau membina platform untuk membentuk skuad terbaik tanpa perlu terlalu berbelanja besar bagi membeli pemain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara asas paling penting yang sering diabaikan kebanyakan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) tetapi jelas membawa perbezaan ketara buat JDT adalah menyediakan fasiliti bertaraf dunia kepada pemain.

Memiliki gimnasium terbaik, pusat latihan tertutup dan pelbagai kemudahan lain sebenarnya bukan perkara remeh tetapi keperluan besar buat pemain.

Harimau Selatan juga melihat, pemilihan pemain yang tepat di setiap posisi – daripada tempatan sehingga import, selain barisan kejurulatihan, perubatan serta kecergasan terbaik turut mendorong kepada kemampuan mereka bukan sahaja mengungguli Liga M, malah memberi saingan di peringkat Asia.

Namun begitu, untuk menyediakan kemudahan bertaraf lima bintang kepada pemain, sudah pasti kewangan yang amat kukuh memainkan peranan besar buat mana-mana pasukan yang mahu menyekat JDT daripada merangkul kejuaraan ketujuh berturut-turut musim depan.

Pasukan seperti Pahang, Kedah, Selangor, Perak dan Melaka United yang sepatutnya menjadi pencabar utama Harimau Selatan musim ini sudah boleh memikirkan perancangan untuk menghadapi tahun 2020 sekiranya enggan dikecewakan lagi.

Apakah langkah pertama, kedua atau ketiga yang perlu dilakukan pasukan-pasukan ini untuk bukan sahaja menewaskan JDT musim depan, malah mengelak daripada ditinggalkan 16 mata, 17 mata, 18 mata, 19 mata atau 20 mata.

FASILITI, KEWANGAN PERLU KUKUH

“Sudah tentu, memiliki fasaliti terbaik dan sumber kewangan yang kukuh antara faktor paling penting.

“Saya juga menyambut baik cadangan YB Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) untuk memberi tumpukan kepada satu pasukan utama dan pasukan lain menjadi ‘feeder’ (kelab pembangunan).

“Dana disalur kepada satu pasukan sahaja bagi membentuk skuad terkuat. Untuk mencabar JDT, semua pasukan perlu membuatpelaburan besar kepada pasukan utama, fasiliti dan teknikal.

“Apa pun, Selangor tidak ketinggalan jauh dan mampu mengejar. Perubahan mula dilihat sejak di bawah pimpinan RMS (Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuiddn Idris Shah)”.

B. SATHIANATHAN

(Jurulatih Selangor)

SUMBER KEWANGAN JDT FAKTOR UTAMA KEJUARAAN 6 KALI

“Harus diakui bahawa pasukan JDT mempunyai sumber kewangan yang kukuh, antara faktor menyumbang kemenangan enam kali berturut-turut.

“Mereka mempunyai pemain dan pengurusan yang berkualiti yang boleh saya katakan ‘sempurna’ dari atas sampai bawah.

“Meskipun demikian, kita tidak mahu menjadikan faktor itu sebagai halangan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menyaingi JDT, sebaliknya akan menjadikan pasukan itu sebagai kayu pengukur untuk berjaya”

AL-NALIQ HASMI ABU HASSAN

(Pengurus Kedah)

PEMAIN UTAMA, SIMPANAN, IMPORT KENA MANTAP

“Setiap pasukan harus mempunyai pemain muda, import dan barisan simpanan yang lebih mantap kalau mahu mendapatkan keputusan baik dalam setiap perlawanan.

“Kita boleh bergantung kepada pemain tertentu sahaja kerana pemain yang berada di bangku simpanan juga perlu setanding kesebelasan utama dalam pasukan.

Itulah kelebihan yang ada pada JDT kerana mereka juga memiliki barisan simpanan yang kuat”.

MOHD. NIDZAM JAMIL

(Jurulatih Felda United)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini