M4E serah memo bantah kematian Morsi di kedutaan Mesir - Utusan Malaysia

M4E serah memo bantah kematian Morsi di kedutaan Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Walaupun tidak mendapat kerjasama baik daripada Pejabat Kedutaan Besar Mesir ke Malaysia di sini, sebuah pertubuhan kerajaan (NGO) mewakili 32 pertubuhan Islam tekad menyerahkan memorandum bantahan terhadap kematian dan penganiayaan terhadap bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi di hadapan pejabat kedutaan itu hari ini.

Gerakan Malaysian 4 Egypt (M4E) menyerahkan memorandum berkenaan menerusi peti surat pejabat berkenaan setelah mendapati kakitangan pejabat itu enggan mengadakan pertemuan.

Pengerusi M4E, Abd. Haris Bain berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas tidak mendapat kerjasama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pihaknya telah menunggu selama lebih setengah jam di hadapan pejabat kedutaan berkenaan sebelum diberi jaminan untuk bertemu.

“Kita ada beritahu kepada kakitangan kedutaan yang berlegar di sini, mereka kata, satu minit (untuk berjumpa). Tetapi, sekarang sudah lebih setengah jam menunggu, tak muncul lagi. Amalan biasa sebelum ini pun, mereka tidak bersedia untuk menerima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Pejabat Kedutaan Besar Mesir ke Malaysia di Jalan Ru, Ampang Hilir.

Tambah Abdul Haris, penyerahan memorandum hari ini adalah untuk menyatakan sokongan terhadap terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Mesir.

Beliau malah memberitahu, terkini, seorang Presiden yang rakyat Mesir pilih secara sah telah meninggal dunia dan ia satu penganiayaan.

“Banyak hak beliau (Mohamed Morsi) tidak dipenuhi sebagai seorang rakyat Mesir.

“Bagi kita, ia satu pembunuhan yang disengajakan kerana ada banyak hak-haknya tidak dipenuhi seperti penyakit yang tidak diberi rawatan. Banyak kes pengabaian seperti ini,” ujarnya.

Menurut Abd. Haris lagi, pihaknya berhimpun untuk menyatakan kekesalan mereka kepada kedutaan Mesir agar mereka dapat ambil perhatian dan menyampaikan mesej untuk membebaskan ribuan lagi tahanan yang tidak dibicarakan.

Katanya, pihaknya juga meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buka fail penyiasatan berhubung punca kematian Morsi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini