Lulus Diploma syarat masuk latihan TUDM - Utusan Malaysia

Lulus Diploma syarat masuk latihan TUDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menetapkan kelulusan pada peringkat diploma sebagai syarat bagi pengambilan perajurit muda pada masa hadapan.

Ia sejajar dengan keperluan TUDM untuk memiliki generasi anggota yang mempunyai tahap akademik terbaik bagi mengendalikan aset-aset berteknologi tinggi pasukan itu.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, program pemodenan yang sedang dibangunkan ketika ini memerlukan ia seiring dengan kualiti keanggotaan TUDM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, sejak dua tahun lalu hampir 30 peratus daripada pelatih baharu TUDM adalah lulusan diploma terutama dalam bidang kejuruteraan.

“Berbanding anggota biasa, latihan kemahiran lanjutan bagi lepasan diploma juga dapat dilaksanakan lebih singkat kerana mereka telah memiliki asas akademik.

“Kita tidak menetapkan tempoh masa untuk ambilan lulusan diploma sepenuhnya bagi perajurit muda tetapi berharap ia dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika hadir pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 60/2019 di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan dan Komandan ATU Ipoh, Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid.

Mengulas lanjut kata Affendi, lulusan diploma juga menerima tangga gaji permulaan lebih tinggi iaitu kira-kira RM1,899 bergantung kepada bidang kemahiran masing-masing.

Justeru katanya, faktor itu juga menawarkan prospek kerjaya yang baik kepada para belia yang ingin memilih TUDM sebagai profesion masa hadapan.

Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 336 perajurit muda TUDM berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan termasuk 42 orang pelatih wanita.

Anugerah Pelatih Terbaik diterima Perajurit Muda Mohd. Khairul Fauzan Abd. Rahman, 23, yang menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Perajurit Muda Ardimansyah Latman, 24, dan Perajurit Muda Andrew Prakash, 23, pula masing-masing diumum Pelatih Akademik dan Penembak Terbaik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini