Luluh hati tiga beradik buta, anak saudara sanggup bakar rumah - Utusan Malaysia

Luluh hati tiga beradik buta, anak saudara sanggup bakar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Luluh hati tiga beradik buta apabila anak saudaranya yang ‘ditatang bagaikan minyak penuh’ dan diberi sepenuh kasih sayang sejak daripada kecil sanggup membakar rumah mereka hanya kerana tidak diberikan wang dalam kejadian di Kampung Titi Besi semalam.

Berikutan itu, warga emas berkenaan, Halijah Ibrahim,78, Che Manai,73, dan Che Zainah yang tinggal sehelai sepinggang terpaksa menumpang sementara di bengkel kraftangan milik mereka terletak berhampiran.

Che Manai berkata, dia tidak menyangka anak saudaranya yang berusia 28 tahun itu sanggup membakar rumah pusaka tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, anak saudaranya itu tinggal bersama mereka sejak berusia 10 tahun dan dijaga dengan penuh kasih sayang.

“Pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia (anak saudara) ada meminta wang sebanyak RM10 dan saya beri. Tetapi selepas itu, pada sebelah petang dia minta lagi. Dia minta semua wang yang ada pada saya tetapi saya enggan menuruti permintaannya lagi kerana tahu dia ketagihan gam dan mahu beli gam untuk menghidunya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di Kampung Titi Besi di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan jeritan meminta tolong tiga beradik buta yang terperangkap di dalam kediaman mereka yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa warga emas itu dalam kejadian tersebut.

Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa segera membantu membawa keluar warga emas terbabit ketika api sedang marak dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.

Tambah Che Manai, anak saudaranya itu memang selalu meminta wang daripada mereka untuk beli gam dan akan mengamuk serta mengugut melakukan sesuatu jika permintaannya tidak dituruti.

Dalam pada itu, warga emas berkenaan berkata, kebakaran itu mengakibatkan semua persiapan raya termasuk baju kurung yang dihadiahkan seorang anak saudaranya musnah.

“Saya telah menggosok baju kurung baharu itu dan menggantungnya di dalam almari, namun sayangnya saya tidak sempat memakainya pada hari raya nanti,” katanya sebak.

Sementara itu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk membina rumah baharu buat mangsa dalam masa terdekat ini.

“Kita juga memberikan sumbangan segera seperti makanan dan barang keperluan lain seperti peti sejuk dan peralatan untuk memasak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini