JELEBU – Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 29.1 Jalan Seremban-Simpang Pertang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitshubishi Airtrex dan Honda HRV.
“Kemalangan kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dari arah Seremban ke Jelebu termasuk ke laluan bertentangan di satu selekoh dan berlanggar dengan Mitshubishi Airtrex.
“Mitshubishi Airtrex itu kemudian termasuk ke laluan bertentangan dan seterusnya kenderaan Honda HRV dari arah Seremban ke Jelebu terlanggar Mitshubishi Airtrex tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Kamarul Rizal berkata, mereka yang cedera ialah pemandu Proton Saga, Muhamamad Uwais Al-Qarni Omar, 27, dan tiga penumpang Mitshubishi Airtrex, Mohd. Yusof Jamaludin, 68; Ramlah Md. Nor, 62, serta Zabidah Bedin, 58.
Menurut beliau, turut mengalami kecederaan penumpang Honda HRV, Permai Hasan, 62, dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jelebu bagi menerima rawatan.
“Tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat dibawah Peratuan 10 LN 166/59,” katanya. – K! ONLINE












