LAHAD DATU 1 Jun- Lelaki warga Jordan yang disyaki mengugut isteri dan memukul anak lelakinya ditahan polis di sebuah hotel di Sandakan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, Hani Mosbah Ramadan Al Ayaydeh, 43, ditahan kira-kira pukul 3.45 pagi oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Lahad Datu.
“Polis turut menemukan tiga anak suspek berusia empat hingga 13 tahun dalam keadaan baik. Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kelmarin, isteri suspek membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan anaknya susulan dakwaan anak lelaki suspek berumur lapan tahun dipukul lelaki tersebut sehingga menyebabkan kecederaan.
Satu pertengkaran antara suspek dan isterinya juga berlaku pada Rabu lalu berikutan isterinya tidak bersetuju untuk membuat pasport anak bongsunya untuk dibawa balik ke Jordan.-BERNAMA











