BRUSSELS – Seorang lelaki Perancis hari ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana terlibat dalam kes rompakan berlian bernilai AS$50 juta (RM207 juta) di lapangan terbang Brussels pada 2013.
Mard Bertoldi, 48, sambil tersenyum membalas dengan ucapan terima kasih selepas hakim memberitahunya bahawa dia mempunyai sebulan untuk membuat rayuan bagi hukuman penjaranya dan denda AS$6,800 (RM28,177).
Rompakan pada 18 Februari 2013 yang merupakan antara kejadian jenayah paling besar di dunia menyaksikan sekumpulan enam lelaki berpakaian seperti polis merampas berlian itu daripada sebuah pesawat penumpang dalam satu operasi yang berlangsung hampir enam minit tanpa sebarang tembakan dilepaskan.
Lelaki tersebut yang memakai hud dan bersenjatakan mesingan menaiki sebuah kereta di landasan lapangan terbang Zaventem di sini selepas sebuah kereta perisai memasukkan berlian tersebut ke sebuah pesawat yang akan berlepas ke Zurich.
Dia memaksa pesawat itu membuka tempat simpanan barangnya sebelum mengeluarkan 120 kotak berlian dan melarikan diri dengan barangan berkenaan yang bernilai kira-kira AS$50 juta (RM207 juta), dengan sebahagian daripadanya masih gagal ditemui.
Sejumlah emas dan logam berharga dalam bentuk serbuk juga telah dicuri.
Lebih daripada 30 orang ditahan di Belgium, Perancis dan Switzerland dalam operasi besar-besaran yang dikoordinasikan polis.
Bulan lalu, Bertoldi menafikan dia telah mengambil bahagian dalam insiden yang disifatkan media Belgium sebagai ‘rompakan abad ini’, dengan memberitahu mahkamah bahawa dia hanya menerima sebahagian daripada berlian yang dicuri tersebut.
Bagaimanapun, hakim yang membacakan hukuman pada hari ini berkata, Bertoldi memainkan peranan penting dalam insiden rompakan berkenaan.
Hakim berkata, Bertholdi bagaimanapun tidak terlibat secara langsung dalam semua kejadian berkenaan, terutamanya pencurian kereta yang kemudiannya dibakar.
Sebelum kes rompakan di lapangan terbang itu, Belgium telah berhadapan dengan kejadian rompakan melibatkan berlian dan batu permata.
Pada Februari 2003, barang kemas dan berlian dianggarkan bernilai kira-kira 100 juta Euro dicuri dari kedai berlian di Antwerp.
Lebih daripada 120 peti besi di Diamond Center yang mempunyai kawalan keselamatan ketat di daerah penjualan berlian di bandar tersebut dikosongkan tanpa disedari. – AFP











