KUALA LUMPUR – Bau busuk di sebuah bangunan komersil empat tingkat di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC), Kuching, Sarawak sejak beberapa hari lalu terjawab susulan penemuan mayat seorang lelaki di dalam salah satu bilik di bangunan tersebut, semalam.
Utusan Borneo melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintenden Merbin Lisa berkata, mayat lelaki berusia 56 tahun itu ditemui pemilik premis semasa memeriksa bilik yang disewa mangsa.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat sekitar pukul 10.30 pagi dan beberapa anggota dari Balai Polis Batu Kawa hadir di lokasi kejadian.
“Pintu bilik mangsa berkunci dan apabila dibuka dengan bantuan pemilik bangunan, didapati mayat seorang lelaki dalam keadaan berbogel dan membengkak serta berbau busuk.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tidak terdapat kesan luka, calar dan lebam pada mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Ujar Merbin, pihaknya mendapati kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 5 Jun lalu sekitar pukul 2 petang.
“Seorang saksi memberitahu, mangsa kali terakhir dilihat telah meminta pertolongannya untuk memimpinnya masuk ke bilik sewa tersebut selepas mandi kerana tidak dapat berjalan.
“Menurut pemilik premis, mangsa berasal dari Negeri Sembilan telah menyewa seorang diri sejak tiga bulan lalu dan turut membantu mengemas bilik-bilik sewa di premis tersebut tanpa upah,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) dan bedah siasat akan dijalankan sebaik sahaja berjaya mengesan ahli keluarga atau waris mangsa.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











