IPOH – Berang kerana tidak diberikan wang, seorang lelaki sanggup mengugut untuk menyembelih ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ara Payong di sini hari ini.
Tindakan lelaki berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia diberkas polis pada pukul 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan terhadap lelaki itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pengadu yang merupakan ibu suspek berusia 71 tahun.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 1.15 tengahari apabila suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mengugut ibunya setelah tidak diberikan wang.
“Mangsa enggan memberikan wang kepada anaknya itu hingga suspek bertindak mengugut untuk menyembelihnya. Mangsa yang keluar dari rumah dan meminta pertolongan jiran telah membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah.
“Susulan daripada laporan yang dibuat ibu suspek itu, lelaki terbabit ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah pada pukul 4 petang tadi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Adnan, ugutan seumpama itu kali kedua dilakukan suspek di mana dia pernah mengugut mahu membunuh ahli keluarganya sebelum ini dengan kejadian pertama berlaku sebelum bulan Ramadan.
Bagaimanapun katanya, tiada laporan polis yang dilakukan terhadap ugutan tersebut.
“Ibu suspek menetap di rumah tersebut bersama lelaki itu yang merupakan anak kelimanya. Suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau bersabit kes dadah malah ujian saringan air kencingnya juga positif dadah jenis morfin,” katanya.
Tambah beliau, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah).-UTUSAN ONLINE











