KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang melakukan ritual di sebuah tokong sambil memakai pakaian seperti orang Islam membuat permohonan maaf kepada semua umat Islam di negara ini.
Lelaki terbabit, Lim Lip Kok berkata, dia menyesal dengan tindakannya itu yang melukakan orang Islam dan Melayu serta berjanji untuk tidak mengulanginya.
“Saya minta maaf, saya minta maaf, saya minta maaf. Tindakan saya tidak disengajakan dan tidak berniat menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia serta melukakan perasaan orang Melayu,” katanya dalam satu laporan yang dipetik menerusi portal The Star di sini hari ini.
Permohonan maaf Lip Kok yang merupakan seorang nelayan itu dibuat dalam bahasa Mandarin dan diterjemah oleh Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bagan Selatan, Cheah Han Boon.
Pada 7 Jun, rakaman memaparkan Lip Kok membuat ritual di Tokong Datuk Kong, Taman Piandang Indah sambil memakai kopiah dan kain batik sarong menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Biro Agama Masjid Tanjung Piandang, Mohd. Yusop Budin berkata, perbincangan jawatankuasa masjid memutuskan untuk menerima permohonan maaf berkenaan. – UTUSAN ONLINE











