‘Latheefa, buka semula tiga kes yang masih misteri’ - Dominic - Utusan Malaysia

‘Latheefa, buka semula tiga kes yang masih misteri’ – Dominic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Gerakan berharap Latheefa Beebi Koya yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu dapat melaksanakan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan oleh parti itu dalam tempoh 100 hari bagi membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk memegang jawatan tertinggi agensi itu.

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau menegaskan meskipun ramai menyifatkan tindakan itu sebagai `pelantikan politik’ beliau tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan serupa malah akan memberi sedikit masa kepada Latheefa bagi membuktikan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu itu adalah kompeten.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Latheefa sebagai wanita pertama menjawat jawatan ketua pesuruhjaya sejak penubuhan agensi itu 52 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun pelantikan ini jelas melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) tetapi sudah menjadi kenyataan, jadi kami berharap Latheefa dapat melaksanakan KPI ditetapkan Gerakan bagi membuktikan beliau berani dan tidak sekadar membuat omong-omomg kosong dalam membantu Malaysia membanteras rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dominic, tiga KPI yang ditetapkan oleh Gerakan bagi Latheefa yang pertama, membuka semula fail bagi menyiasat kes pembunuhan Zhao Mingfu memandangkan polis telah membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.  

“Jadi, SPRM harus menyiasat semula kejadian itu termasuk menggantung tugas pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes tersebut dalam usaha menegakkan kebenaran,” katanya.

KPI kedua, kata Dominic, Latheefa perlu membuka semula siasatan kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pembelian banglo.

“Sebelum ini, Peguam Negara Tommy Thomas telah menarik balik pendakwaan kes tersebut dan ketua pesuruhajaya pada ketika itu juga terkejut dengan keputusan Peguam Negara itu. Oleh itu, Latheefa perlu menyiasat kes ini bagi membina semula imej SPRM,” ujarnya.

Kata Dominic, KPI ketiga adalah menyiasat seorang daripada dua exco PKR Johor berhubung dakwaan isu apartmen.

“Pemimpin Gerakan Johor telah membuat laporan kepada SPRM negeri tetapi mereka enggan menerima laporan itu. Jadi, Latheefa perlu segera mengarahkan agensinya untuk menerima sebarang aduan daripada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya jika Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu mampu mencapai kesemua tiga KPI ditetapkan, ia secara tidak langsung menepis kritikan berhubung isu `pelantikan politik’ itu selain membuktikan Latheefa kompeten.

Dalam pada itu, Dominic memberitahu, sejak kerajaan PH mengambil alih, ramai pemimpin politik termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah didakwa dengan kes rasuah.

Menurutnya, ramai percaya tindakan itu merupakan langkah politik kerajaan PH.

“Gerakan percaya jika bekas pemimpin itu benar-benar bersalah, perkara itu perlu ditangani namun yang lebih penting adalah perlu memastikan reformasi institusi kehakiman supaya pemimpin dari parti pemerintah dan pembangkang dilayan secara adil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini