PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini, pihaknya mahu mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggilkan bekas Perdana Menteri itu.
“Beliau (Najib) juga akan dipanggil untuk kes berkenaan. Kami tidak nafi beliau juga akan dipanggil.
“Beliau juga mungkin terbabit dalam hal ini. Buat masa ini, beliau belum dipanggil…kami sedang kumpul bukti. Kami perlu ambil keterangan yang lain dahulu dan akan panggil beliau apabila sesuai,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Dalam perkembangan kes yang sama, Azam turut mengesahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan semalam.
“Untuk kes ini, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan hadir ke SPRM Ahad ini bagi memberi keterangan,” katanya.
Pada Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.
Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion
Dalam perkembangan lain, Azam mengesahkan dua individu telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.
“Kami sudah tahan dua individu daripada syarikat yang menerima projek berkenaan dan mereka sudah ditahan reman sejak tiga hari lalu,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – UTUSAN ONLINE











