KUALA LUMPUR – Demi mencipta kelainan kepada penggemar minuman kopi, MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat Shence Pack Sdn. Bhd., memperkenalkan minuman Kopi Sparkling pertama di negara ini melalui produk jenama Blu Coffee.
Kopi Sparkling itu merupakan campuran produk kopi yang diinovasi bersama minuman berkarbonat sekali gus menjadi identiti kepada produk yang berasal dari Indonesia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Holdings yang merupakan anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Shaharudin Mohamed berkata, pihaknya berusaha mencari identiti minuman berasaskan kopi dengan menawarkan menu pilihan itu kepada pengguna yang boleh menikmatinya di francais koperasi yang akan dibuka kelak.
“Kita menawarkan program kepada koperasi di seluruh negara yang berminat menjadikan bidang perniagaan berasaskan minuman kopi sebagai aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada koperasi tersebut.
“Pakej francais yang ditawarkan bermula serendah RM80,000 sebagai modal permulaan sehingga RM300,000 bagi pakej yang lebih besar. Setakat ini, kita sudah mendapat permintaan dari koperasi di Johor yang akan membuka sebanyak 11 ‘outlet’ di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) usaha sama antara kedua-dua syarikat tersebut di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
MyAngkasa Holdings diwakili oleh Shaharudin manakala Shence Pack diwakili oleh pengasasnya, Set Ho Chee Shen.
MoA itu disaksikan oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Pemeteraian MoA itu bertujuan menawarkan program perniagaan francais outlet minuman berasaskan kopi kepada koperasi yang bernaung di bawah Angkasa seperti koperasi-koperasi di sekolah, universiti dan masjid yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka bagi menjana pendapatan. – UTUSAN ONLINE











