KLFA singkir sembilan ahli gabungan - Utusan Malaysia

KLFA singkir sembilan ahli gabungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bertindak drastik dengan menyingkirkan sembilan ahli gabungannya kerana didakwa melanggar perlembagaan persatuan dengan mendedahkan kemelut dalaman berhubung kegagalan mengadakan mesyuarat agung pemilihan kepada media.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan tersebut dibuat sehari sebelum berlangsungnya Kongres KLFA Ke-31 yang diadakan, hari ini sekaligus tidak melayakkan ahli gabungan terbabit untuk hadir bermesyuarat.

Ini menyebabkan keadaan menjadi sedikit tegang berikutan terdapat ahli gabungan yang disingkirkan itu tetap hadir tetapi tidak dibenarkan masuk kerana hilang kelayakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kawalan ketat juga turut dilakukan oleh kakitangan bawahan KLFA di pintu masuk dewan mesyuarat. Ini menyaksikan beberapa wakil ahli gabungan yang diketepikan itu mengadakan sidang akhbar di depan dewan persidangan bagi melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Berlaku sedikit salah faham ketika sidang akhbar itu diminta dihentikan serta merta oleh kakitangan KLFA yang berkawal di luar dewan. Bagaimanapun, keadaan terkawal berikutan kehadiran beberapa anggota polis yang memantau.

Ahli gabungan KLFA yang menjadi mangsa digugurkan keahlian itu adalah terdiri daripada kelab bola sepak seperti Sime Darby, Victoria Institution, Bukit Bandaraya, Bank Rakyat, KB Putrajaya, Petaling Putra, Felcra, UNI-KL dan Subadron Academy.

“KLFA telah memberi peluang yang secukupnya kepada semua sembilan daripada 31 ahli gabungan kami ini tidak termasuk 31 ahli bersekutu lain supaya menjawab surat tunjuk sebab berikutan kesalahan yang mereka lakukan kerana melanggar perlembagaan persatuan.

“Malangnya mereka tidak memberikan sebarang respon. Maka keputusan menyingkirkan mereka sebagai ahli gabungan telah dibuat oleh badan kehakiman yang ditubuhkan KLFA mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata Adnan selepas berakhir Kongres KLFA, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini