KL juara pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen - Utusan Malaysia

KL juara pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasukan bahas dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah dinobatkan sebagai johan pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pasukan berkenaan diwakili para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju terdiri daripada Shamshul Hariz Shamsul Bahril, Hafirul Irman, Emran Emir, Aliff Aiman dan Adlan Sufian.

JURULATIH pasukan bahas SMK Zon R1 Wangsa Maju, Mohd. Bakri Talib menjulang piala kemenangan Bahas B
JURULATIH pasukan bahas SMK Zon R1 Wangsa Maju, Mohd. Bakri Talib menjulang piala kemenangan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus. – UTUSAN ONLINE

Shamsul Hariz turut  merangkul gelaran Pembahas Terbaik 4 pusingan berturut-turut iaitu pada pusingan awal pertama, kedua, suku akhir dan separuh akhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Johan bagi pertandingan itu pula disandang oleh pasukan pembahas dari Maahad Muar, Johor manakala tempat ketiga disandang secara bersama oleh pasukan pembahas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu,Sarawak dan pasukan pembahas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Fuad, Sabah.

Ahmad Fitri Hakim dari Maahad Muar Johor muncul sebagai pembahas terbaik.

bahas wpkl
Mohd. Bakri Talib (kiri) Shamshul Hariz Shamsul Bahril.

Pembahas WPKL melakar kejutan apabila mara ke Pusingan Akhir dua tahun berturut-turut meskipun diwakili pembahas berbeza daripada tahun sebelumnya.

Kejayaan manis ini sebenarnya adalah berkat sokongan yang tidak pernah putus daripada Pengetua SMK Zon R1 Wangsa Maju, Suzana Khumariah Zainal Abidin yang turut sama berada di sepanjang pertandingan selaku Ketua Kontinjen WPKL.

Jurulatih pasukan bahas itu ialah Mohd. Bakri Talib, dalam satu kenyataan berkata, kemenangan ini merupakan julung kali buat WPKL sekali gus menamatkan kemarau kemenangan buat negeri itu.

“Kemenangan ini yang terindah buat saya sebagai guru. Selama 15 tahun sejak 2004 membawa pasukan bahas ke peringkat kebangsaan, saya masih tidak mampu mencapai hasrat menjulang piala Johan.

“Tetapi pada hari ini, penderitaan, penantian dan ujian membentuk pasukan baharu menepis sentimen negatif dan pelbagai pancaroba, pasukan saya telah melakukan sesuatu yang melebihi jangkauan awal dan saya rasakan ini suatu keajaiban berkat doa dan kasih sayang seluruh warga SMK ZON R1 Wangsa Maju,” katanya hari ini.

Barisan pembahas itu berjaya menewaskan pasukan dari Perlis, Labuan, Melaka dan bertarung dengan sengit menentang Sarawak di peringkat separuh akhir.

Pada pusingan akhir, pasukan Kuala Lumpur berentap menentang pasukan Johor dengan tajuk usul ‘Kemajuan Teknologi Membina Budaya Positif’.

Pertandingan akhir dan majlis penutupan pertandingan itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sukan dan Seni Kementerian Pendidikan, Zainal Abas.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini