Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan selamat - Wisma Putra - Utusan Malaysia

Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan selamat – Wisma Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan termasuk 26 pelajar dilaporkan selamat susulan perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Kedutaan Malaysia di Khartoum telah berhubung rapat dengan semua warga Malaysia yang berdaftar dan memantau dengan teliti situasi.

“Semua rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan, terutama yang berada di negara itu bagi urusan tidak penting, digalakkan untuk mempertimbangkan bagi meninggalkan negara tersebut secara komersial secepat yang mungkin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan lebih stabil,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Wisma Putra memberitahu, Malaysia mengalu-alukan persetujuan yang dicapai baru-baru ini antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik di negara itu.

“Malaysia menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang sepenuhnya, mengelak daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Kami mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” kata Wisma Putra.

Kerajaan Sudan dilaporkan semalam mengaku telah memberi arahan bagi menumpaskan penunjuk perasaan dari pihak pembangkang yang menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini