Kesatuan ummah lebih penting - Utusan Malaysia

Kesatuan ummah lebih penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI Muslim, pastinya kita berasa sedih melihat perpecahan yang berlaku dalam kalangan saudara seagama sehingga tercetus perang saudara, selain fitnah yang semakin berleluasa dan lontaran pelbagai label kepada satu kumpulan lain, hanya kerana berbeza idealogi.

Penceramah bebas, Dr. Zaharudin Abdul Rahman, berkata, jarum halus syaitan untuk memecah-belahkan umat Islam adalah melalui pergaduhan atau berkelahi terutamanya pada pelaksanaan syariat yang tidak seragam di negara kita.

“Perangkap syaitan mahupun iblis akan membisikkan ke dalam hati Muslim untuk terlalu obses terhadap keseragaman fizikal dan luaran sehingga mereka mengabaikan salah satu asas utama dalam Islam iaitu kesatuan serta persaudaraan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sedangkan Nabi Muhammad SAW sudah menunjukkan kepentingan persaudaraan melalui peristiwa hijrah orang Muhajirin yang disambut baik oleh orang Ansar meskipun mereka merupakan kumpulan yang berbeza tetapi baginda menekankan persaudaraan itu lebih penting daripada perbezaan perkara yang tidak seragam,” katanya pada Majlis Iftar Perdana anjuran Multiracial Reverted Muslim (MRM) baru-baru ini.

Tambah Zaharudin, mesej yang ingin disampaikan adalah kesatuan merupakan asas utama kekuatan umat Islam dan keseragaman sememangnya diperlukan tetapi dalam beberapa perkara yang usul, bukannya dalam bab furu’ sehingga membuatkan sesetengah pihak memaksa orang lain untuk menerima pegangannya.

Sementara itu, keseragaman umat Islam adalah mengucap dua kalimah syahadah dan mengamalkan adab yang bersifat global iaitu nilai yang diterima oleh kebanyakan seperti menghormati ibu bapa meskipun terdapat sedikit perbezaan mengikut pandangan masing-masing.

“Islam juga memiliki perspektif bahawa perkara seragam tidak boleh berubah sehingga hari kiamat seperti umat Islam wajib menunaikan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menunaikan haji bagi yang berkemampuan dan membayar zakat jika cukup syarat.

“Semua pelaksanaan ibadat itu haruslah seragam walaupun cara solat ada yang berbeza seperti bilangan rakaat solat qasar berbeza dengan solat fardu serta cara pembayaran zakat melalui beras, wang atau barangan pertanian,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengasas yang juga Presiden MRM, Firdaus Wong Wai Hung, berkata objektif penubuhan persatuan itu adalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada Muslim dan belum Muslim melalui dakwah jalanan dan media sosial.

“Kami menjawab tuduhan dan fitnah terhadap Islam serta memberi penerangan kepada masyarakat secara umum mengenai ajaran ini melalui penulisan artikel di platform media sosial,” katanya.

Jelasnya, perancangan MRM pada masa akan datang adalah untuk memberi lebih banyak kesedaran kepada masyarakat di media sosial, selain berharap ada pertambahan kakitangan khususnya dalam bidang penulisan artikel.

“Perkara ini penting kerana masyarakat dalam era globalisasi memperoleh pelbagai ilmu menerusi platform media sosial. Malah, Islam juga diserang melalui media sosial. Jadi, kita harus banyak bergerak secara dalam talian melalui penulisan artikel berkaitan agama Islam dalam pelbagai terjemahan,” katanya.




Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini