SEREMBAN – Kerajaan melahirkan rasa syukur kerana kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan termasuk 26 pelajar dilaporkan selamat susulan perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan berharap keganasan yang berlaku di negara itu tidak akan merebak hingga ke tempat yang didiami rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, lebih elok untuk mereka terus kekal di tempat sedia ada dan berharap situasi buruk tidak sampai ke tempat mereka.
“Kerajaan bersyukur kerana semua orang termasuk pelajar Malaysia terselamat dan berharap semua pihak yang bertelagah kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan masalah,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan termasuk 26 pelajar dilaporkan selamat susulan perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu.
Menurutnya, kedutaan Malaysia di Khartoum telah berhubung rapat dengan semua warga Malaysia yang berdaftar dan memantau dengan teliti situasi.
Sementara itu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan Malaysia mengalu-alukan persetujuan antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik negara itu.
“Malaysia menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang sepenuhnya, mengelak daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.
“Kami mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











