Kerajaan ambil langkah atasi kemiskinan pesawah - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan ambil langkah atasi kemiskinan pesawah – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara langkah itu ialah meningkatkan kaedah pertanian moden, selain memperkenalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Selama yang kita tahu penanam padi adalah golongan miskin dan mereka bergantung kepada subsidi kerajaan, kita kenal pasti beberapa perkara yang menyebabkan mereka terus dalam garis kemiskinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertama, mereka mempunyai holding (sawah) yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan keduanya, mereka tidak efisien, di atas tanah satu ekar (0.4 hektar) boleh keluar (hasil) lapan tan, tapi mereka keluar cuma empat tan.

“Jadi pesawah perlu meningkatkan kaedah penanaman dan cara penggunaan baja. Kerajaan terpaksa bagi  subsidi setahun RM1.8 bilion kepada 200,000 pesawah, ini satu kos yang tinggi.

“Jadi kita nak supaya mereka dapat menghasilkan pengeluaran lebih banyak per ekar dan pada masa sama kita mahu menangani masalah kemiskinan penanam padi dan tidak boleh paksa mereka hanya menanam padi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3/2019 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, pesawah boleh meningkatkan pendapatan mereka dengan menanam tanaman alternatif yang boleh memberi pulangan lebih baik.

“Umpamanya tanaman kontan yang boleh dituai tiga atau empat kali setahun yang memberi pulangan lebih baik berbanding padi. Tanaman padi di Kedah dituai dua kali setahun, tapi tempat lain sekali sahaja, jadi pendapatan mereka berkurangan.

“Kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh, sebab kemiskinan dan cara menanganinya dan pada masa sama kita mesti menjaga keselamatan bekalan makanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini