BANDAR DATONG, China – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan menangis selepas kepalanya tersangkut antara dua tiang konkrit di sebuah sekolah di China baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Sekolah Rendah Jinguang di Bandar Datong, wilayah Shanxi di China. Pihak sekolah meminta bantuan jabatan bomba daerah berkenaan untuk menyelamatkan pelajar berkenaan.
Sekumpulan anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian menggunakan set jek kereta dan pemutar skru untuk membebaskan kepala kanak-kanak berkenaan.
Berita berkaitan:
Jarak antara kedua-dua tiang konkrit itu dikatakan hanya beberapa inci lebar. Setakat ini, tiada maklumat didedahkan bagaimana kepala mangsa boleh tersangkut antara tiang konkrit berkenaan.
Satu rakaman video berdurasi 28 saat menunjukkan sekumpulan anggota bomba menggunakan jek kereta untuk meningkatkan ruang antara tiang konkrit berkenaan.
Seorang anggota penyelamat lain menggunakan pemutar skru untuk memecahkan lapisan luaran sebahagian tiang konkrit bagi membantu membebaskan mangsa. Rakaman itu ditonton lebih lima juta kali selepas ia tular di internet. – Agensi











