KUALA LUMPUR – Kejadian penculikan yang masih lagi berlaku di Sabah mengundang persoalan terhadap langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh kerajaan negeri itu dan juga kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH).
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika PH masih tidak dapat menghalang penculikan ganas di negeri itu, ia akan menyebabkan penduduk Sabah dan pelancong berasa tidak lagi selamat.
Sekarang, katanya, penduduk Sabah berasa hilang harapan tempat meminta pertolongan.
“Walaupun Sabah mempunyai kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan juga kerajaan Persekutuan, tetapi ia tidak memberi perhatian sangat terhadap pendekatan keselamatan yang mana membuatkan penduduk negeri itu berasa hilang tempat pertolongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Borneo bahawa sebanyak 10 nelayan yang menaiki dua bot dipercayai diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan berdekatan Pulau Tawi-Tawi, Selatan Filipina, awal pagi tadi.
Utusan Borneo melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun menjelaskan pihaknya belum mendapatkan maklumat penuh berkenaan kejadian.
Katanya, identiti serta status kewarganegaraan mangsa juga masih belum dipastikan setakat ini.
Dalam kes ini, tambah Dominic, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan mangsa penculikan.
Beliau malah memberitahu, kerajaan juga boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mod operasi dan struktur kawasan keselamatan di Timur Sabah.
“Jika perlu, bina dan beli fasiliti keselamatan dan peralatan bagi memastikan kejadian penculikan tidak akan berlaku lagi,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











