Kem PLKN Etnobotani sedia terima Orang Asli Batek - Utusan Malaysia

Kem PLKN Etnobotani sedia terima Orang Asli Batek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Proses mengubahsuai Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani menjadi pusat pemindahan sementara bagi menempatkan Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh yang terlibat dengan krisis kesihatan telah selesai sepenuhnya.

Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, kem tersebut bersedia menerima kumpulan pertama mangsa, iaitu mereka yang selesai menjalani rawatan di hospital pada bila-bila masa.

“Pasukan perubatan serta petugas-petugas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut ditempatkan di pusat pemindahan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menjangkakan lebih 80 Orang Asli akan ditempatkan di sini dan berdasarkan tinjauan saya hari ini, segala kemudahan sudah lengkap dan kita bersedia menerima mereka yang akan dipindahkan secara berperingkat pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di Kem Etnobotani hari ini.

Kem PLKN Etnobotani diumumkan sebagai pusat pemindahan sementara pesakit Orang Asli suku Batik yang selesai menjalani rawatan di hospital oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, semalam.

Kem yang mampu menampung seramai 400 orang dalam satu-satu masa itu kini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik rawatan khas bagi memantau tahap kesihatan Orang Asli di situ.

Mengulas lanjut, Azizan berkata antara persiapan lain dilakukan pihaknya termasuk menyediakan pasukan kaunseling bagi memujuk Orang Asli tinggal di pusat pemindahan terbabit tanpa sebarang konflik.

Ditanya berapa lama kumpulan Orang Asli terbabit akan ditempatkan di situ, Azizan berkata, mereka perlu tinggal di kem itu sehingga pihak berkuasa memaklumkan penempatan mereka di Kampung Kuala Koh selamat untuk didiami.

“JKM dengan bantuan agensi-agensi lain akan menyediakan makan-minum serta keperluan lain kepada kesemua Orang Asli sepanjang mereka berada di kem ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini