Keldai dadah ditahan, Syabu bernilai RM266,250 dirampas - Utusan Malaysia

Keldai dadah ditahan, Syabu bernilai RM266,250 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Cubaan seorang keldai dadah membawa masuk 5.3 kilogram Syabu bernilai RM266,250 dari Kuala Lumpur gagal apabila ditahan polis sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Tawau pada Isnin lalu.

Suspek berusia 30-an itu mengaku bekerja sebagai keldai dadah dan menerima upah RM6,000 untuk setiap penghantaran bekalan dadah ke daerah tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.45 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa oleh suspek mendapati terdapat lima bungkusan plastik bertulis ‘Big Bang Grilled Seaweed’ dan satu lagi bungkusan tertulis ‘Chinese Tea Gift’.

“Apabila bungkusan itu dibuka, terdapat peket lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zaini, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan dari Kuala Lumpur dan polis kini sedang menjalankan risikan lanjut untuk mengesan pembekal berkenaan.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Julai depan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini