ALOR SETAR – Sama seperti pasukan Pahang, Kedah yang menerima kunjungan skuad Tok Gajah dalam aksi Liga Super semalam turut turun tanpa tiga tonggak utama akibat digantung perlawanan.
Ketiadaan Jonathan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof di posisi masing-masing dilihat memberi sedikit kesan kepada aksi Lang Merah yang hanya berkesudahan seri 0-0.
Namun, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tidak mahu menganggap ketiadaan anak-anak buahnya itu sebagai alasan kerana Pahang turut berdepan situasi sama tanpa tiga pemain utama mereka.
Aidil Sharin berkata, pemain Lang Merah berjaya memberi tekanan pada babak pertama perlawanan selain bertahan dengan baik ketika diasak penyerang Pahang.
“Pada setiap perlawanan kita menyasarkan untuk menang terutamanya di laman sendiri, keseluruhan aksi malam ini (semalam) baik kerana Pahang juga bukan pasukan yang mudah.
“Malah, kami mencipta banyak peluang cuma tidak berjaya menghasilkan jaringan,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.
Justeru, pengendali dari Singapura itu berharap beliau dapat menurunkan skuad penuhnya dalam pertemuan selepas ini terutamanya menentang PKNS FC di Shah Alam, Selasa ini.
“Saya harap tiada kecederaan dihadapi pemain selepas perlawanan ini (bertemu Pahang) kerana setiap pertemuan sebelum ini kami tidak pernah dapat turunkan skuad penuh sama ada akibat digantung atau kecederaan.
“Mungkin, jika dapat turunkan satu skuad penuh, aksi Kedah akan lebih mantap pada perlawanan seterusnya untuk memburu mata kemenangan,” katanya.
Mengulas perlawanan bertemu PKNS, Aidil Sharin tidak menganggap lawannya sebagai pasukan mudah walaupun mereka dikejutkan dengan kekalahan 5-4 kepada Felda United semalam.
“Keputusan perlawanan mereka sudah menjadi sejarah, kami akan berdepan PKNS dengan situasi berbeza kerana dalam bola sepak setiap perlawanan berlainan, bukan bermakna PKNS kalah sebelum itu dan menjadi mudah kepada kami menentang mereka nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE











