TELUK INTAN – Kebakaran membabitkan 12 buah kereta dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Batu 2, Jalan Maharajalela di sini hari dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, lapan buah kereta milik pelanggan bengkel tersebut hangus terbakar manakala empat buah lagi terbakar kira-kira 50 peratus.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan awal di lokasi kejadian menjumpai bekas plastik yang mempunyai bau bahan bakar dalam salah sebuah kereta yang terlibat.
Katanya, turut ditemukan kesan pagar dipotong di sebelah kanan premis berkenaan yang dipercayai laluan masuk suspek ke kawasan kejadian.
“Lokasi kejadian merupakan ruang legar tempat letak kenderaan milik sebuah bengkel baik pulih kenderaan bagi tuntutan insurans dan ia telah beroperasi sejak Mei tahun lalu.
“Pemeriksaan mendapati premis tersebut berpagar, dikelillingi pokok dan semak serta mempunyai satu jalan masuk sahaja di mana kunci bengkel dipegang oleh majikan dan kerani. Ketika kejadian pagar dalam keadaan baik dan berkunci,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, seorang saksi yang merupakan penjaga bengkel dan berada di dalam premis tersebut memberitahu kebakaran disedarinya pada pukul 5.08 pagi setelah terdengar bunyi penggera kereta dan melihat api telah marak.
Katanya, pihak bomba dihubungi bagi memadamkan kebakaran dan sebanyak 12 buah kereta terbakar dengan lapan daripadanya musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.
“Anggaran kerugian akibat kejadian ini kira-kira RM150,000 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan namun kejadian ini dipercayai perbuatan khianat dengan simbahan bahan bakar berdasarkan sebuah bekas plastik yang berada di dalam salah satu kereta,” katanya. -UTUSAN ONLINE











