Kanak-kanak dilanggar ketika melintas jalan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Kanak-kanak dilanggar ketika melintas jalan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Sungai Petani-Baling, dekat sini, pada Isnin lalu meninggal dunia pada pukul 10.20 malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Nurdanish Afiq Norhazril dipercayai melintas jalan untuk ke kedai serbaneka bersama seorang lagi kanak-kanak.

Nurdanish Afiq mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan anggota badan lain sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk menerima rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Chuah Seong Lim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat.

“Seorang lagi kanak-kanak yang bersama-sama mangsa terselamat kerana dia sempat melintas jalan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Op Selamat 15/2019 di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Menurut Seong Lim, polis turut menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 31 tahun untuk diambil keterangan.

“Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pemandu berkenaan negatif dadah manakala keretanya turut ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian Puspakom,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini