KANGAR – Terpaksa menadah air hujan.
Itu nasib yang dialami kira-kira 60 orang penduduk di Kampung Desa Permai, Kayang di sini selepas kawasan tersebut mengalami masalah bekalan air sejak lebih sebulan lalu dan lebih malang sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini terpaksa disambut oleh mereka tanpa bekalan asas itu.
Meskipun Syarikat Air Perlis (SAP) ada menghantar enam buah tangki air ke kampung berkenaan namun kekerapan penghantaran itu adalah tidak berjadual sekali gus menyukarkan penduduk.
Penduduk, Roslina Ibrahim berkata, mereka sekeluarga terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian, selepas kawasan mereka mengalami masalan bekalan air.
Katanya, selain menadah air hujan, dia juga terpaksa membeli air di kedai selain menanti pihak SAP menghantar bekalan yang kadang-kala tidak konsisten.
“Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti harian kami sekeluarga terutamanya ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Harun Ahmad pula berkata, gangguan bekalan air itu berlaku kira-kira dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Sejak tempoh itu, katanya, mereka hanya mendapat kuantiti air yang minimum iaitu pada tengah malam hanya selama beberapa jam sahaja.
“Air yang keluar itu juga keruh, berkeladak dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai sumber minuman. Pelbagai aduan telah dibuat kepada SAP tetapi tiada tindakan segera yang diambil.
“Masalah gangguan bekalan air ini berlaku hampir setiap tahun di kampung ini, namun kali ini merupakan yang pertama kami tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada pihak SAP,” katanya.
Sementara itu, keperitan penduduk mendapat perhatian pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai Malaysian Volunteers Organisation (MYVO) apabila mereka tampil mengagihkan sebanyak 120 kotak mineral kepada penduduk.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya turut menyelami masalah yang dihadapi oleh penduduk itu dengan hadir sama menyampaikan bantuan berkenaan.
Serentak dengan itu, Fathul Bari turut menggesa kerajaan negeri dan pihak SAP agar melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah tersebut yang berlarutan setiap tahun. – UTUSAN ONLINE











