Kalau berterusan, kita tidak lagi dihormati - Mufti Wilayah - Utusan Malaysia

Kalau berterusan, kita tidak lagi dihormati – Mufti Wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suasana politik negara yang panas ditambah pula dengan penyebaran video seks terlampau yang mengaitkan seorang Menteri Kabinet, akan merencatkan cita-cita kerajaan untuk menumpukan usaha kepada pembangunan ekonomi, kestabilan politik, memelihara keamanan dan memupuk perpaduan antara kaum.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, isu yang berlaku akan memberi satu alihan arah tuju menyebabkan rakyat dan negara menghabiskan sejumlah besar masa membincangkan isu yang bersifat teramat peribadi.

Beliau berkata, masyarakat khususnya umat Islam seharusnya mengelakkan diri daripada terus mensensasikan isu berkenaan yang tidak ada baiknya sehingga boleh mewujudkan ulasan, kritikan, syak wasangka, tuduhan dan tohmahan yang tidak bertanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau berterusan, kesannya kita tidak lagi dihormati dan kita akan menjadi golongan yang tidak memahami tentang keperibadian yang sebaiknya, yang sepatutnya ada sifat malu, sifat menjaga maruah.

“Perkara seperti ini banyak melukakan maruah, mencarikkan maruah seseorang, bahkan kadang-kadang boleh melumpuhkan kehidupan dan peribadi seseorang. Perbuatan tersebut sewajarnya kita hindarkan kerana satu daripada ajaran Islam hendaklah kita menolak apa yang dikatakan mencarikkan atau meruntuhkan maruah seseorang, ini sebahagian daripada perkara yang sepatutnya kita tentang.

“Isu seperti ini (sepatutnya) menyedarkan kita dan menginsafkan kita, betapa fitnah satu perkara yang cukup bahaya, tanpa saya tuding jari kepada sesiapa, tetapi sifat fitnah itu tidur, dan Allah melaknat siapa yang mengejutkannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilftiri Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, dalam isu yang hangat diperkatakan, mengikut prinsip Islam iaitu Qazaf, sebarang bentuk pendakwaan hendaklah dikemukakan dalil-dalil atau pembuktian empat orang saksi bagi mengelak isu dimanipulasi yang akhirnya merugikan ummah dan negara.

“Paling penting merugikan masa dan kita sebagai orang Islam, merugikan pahala dan didosakan, itu yang kita bimbang,” katanya yang turut mempelawa orang ramai melayari laman web pejabat mufti di www.muftiwp.gov.com yang sarat dengan nasihat, hukum-hakam dan panduan mengenai ajaran Islam.

Beliau berkata, umat Islam sepatutnya mempunyai sifat malu yang merupakan sejuzuk daripada iman dan sentiasa menginsafi diri dengan tidak mendedahkan aib diri sendiri mahupun orang lain sebagaimana ajaran Islam.

“Sepatutnya kita sentiasa menginsafi diri dan jangan kita mendedahkan aib kita, bahkan aib orang lain kita wajib tutup, aib kita pun wajib kita tutup, sebab Rasulullah SAW ajar kita, siapa yang tutup aib orang Islam, Allah akan tutup aibnya pada hari kiamat kelak,” katanya yang telah menulis empat artikel membabitkan isu yang hangat diperkatakan sekarang.

Dr. Zulkifli turut mengingatkan umat Islam mengenai hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa orang Islam yang sebenar adalah di mana orang Islam selamat daripada tangan dan lidahnya, sama ada dengan kata-kata, tulisan, WhatsApp, atau apa sahaja ucapan yang tidak baik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini