JCorp terus mengekalkan kecemerlangan tahun lalu. Apakah yang menyumbang kepada kejayaan syarikat?
Secara keseluruhannya pada tahun lalu, JCorp dan kumpulan berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan walaupun menghadapi persekitaran sengit serta cabaran dalam sektor diceburi dengan mencatatkan perolehan RM5.616 bilion berbanding RM5.564 bilion pada 2017. Jumlah aset turut mencatatkan pertumbuhan setiap tahun sepanjang tempoh lima dekad beroperasi dengan aset bernilai RM22.891 bilion pada 2018 berbanding RM21.79 bilion tahun sebelumnya.
Semua divisyen iaitu Kulim, kesihatan pakar, makanan dan perkhidmatan restoran, hartanah, pembangunan industri, pembangunan bisnes, tanggungjawab korporat, pengurusan sumber manusia kumpulan serta kemajuan ICT menyumbang kepada kejayaan dengan cara masing-masing bagi mencapai prestasi itu.
Boleh Datuk berikan contoh kejayaan yang dicapai?
Sebagai contoh, bisnes perladangan yang diterajui Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) dan selaku sayap perladangan JCorp, kekal sebagai antara penyumbang terbesar kepada kumpulan dengan perolehan RM1.39 bilion walaupun sektor itu secara keseluruhannya terkesan akibat kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran global sepanjang 2018. Keupayaan Kulim mengharungi cabaran itu adalah hasil langkah korporat melaksanakan agenda meningkatkan kemapanan serta kecekapan operasinya.
Menerusi segmen penjagaan kesihatan, KPJ Healthcare Berhad (KPJ) terus mengukuhkan penguasaan di pasaran dan prestasi itu dicerminkan melalui keupayaannya mencatatkan perolehan melebihi RM3 bilion apabila mengalami pertumbuhan seterusnya sebanyak empat peratus lagi dengan nilai perolehan RM3.3 bilion daripada RM3.2 bilion yang direkodkan pada 2017.
KPJ juga mempunyai perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan dengan misi menubuhkan hospital di setiap daerah utama di Johor serta pusat penjagaan ambulatori berhampiran bandar-bandar utama di seluruh negara, dalam usaha memperkukuh sekali gus mengekalkan kedudukan KPJ sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan pakar swasta di Malaysia.
Dalam masa sama, JCorp turut berjaya melunaskan pembayaran Sukuk Wakalah. Boleh Datuk terangkan dengan lebih lanjut?
Penebusan Sukuk Wakalah ini juga sangat signifikan kepada JCorp kerana ia di bawah jaminan kerajaan persekutuan yang dijamin oleh kerajaan negeri dan kami berjaya melunaskan obligasi pembayaran Sukuk Wakalah siri kedua berjumlah RM800 juta untuk prinsipal beserta kupon berjumlah RM49.19 juta.
Bagi tempoh Disember 2012 hingga 2019, keseluruhan bayaran sukuk dan yuran jaminan yang berjaya dilunaskan ialah RM1.959 bilion dan kami sentiasa beriltizam merangka pelbagai inisiatif serta strategi bagi memastikan JCorp terus menjana perolehan dan keuntungan serta aliran tunai yang optimum termasuk fokus terhadap bisnes-bisnes strategik dan penerokaan perniagaan baharu.
Kejayaan itu adalah berlandaskan kepada kesungguhan, nilai kerja berpasukan, keberkesanan perancangan strategik, pengukuhan aset serta kewangan kumpulan selain kerjasama erat antara JCorp dengan agensi-agensi persekutuan dan negeri serta pihak berkepentingan.
Bagaimana pula dengan sektor pembangunan hartanah dan industri, berapa banyak pelaburan berjaya ditarik?
Sektor pembangunan hartanah JCorp, Johor Land Berhad (JLand) turut mencatat peningkatan aset sebanyak RM1.39 bilion pada 2018. Beroperasi sejak 46 tahun, JLand telah membina dan menyerahkan lebih 36,700 unit kediaman serta komersial kepada pembeli sepanjang tempoh itu serta mempunyai projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM14.6 bilion untuk terus menjana perolehan kumpulan.
Pada tahun lalu juga, Divisyen Pembangunan Industri JCorp berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.176 bilion terutama ke Pengerang Industrial Park di Pengerang dan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang selain berjaya mewujudkan 7,406 peluang pekerjaan, hasil strategi pemasaran yang cekap dan agresif.
TPM Technopark Sdn. Bhd. yang bernaung di bawah divisyen sama turut merekodkan penjualan tanah industri seluas 186.2 hektar bernilai RM477.11 juta dan kutipan jualan RM351.69 juta manakala TLP Terminal Sdn. Bhd. pula merekodkan pengendalian kargo tertinggi berjumlah 14.3 juta tan metrik iaitu lonjakan sebanyak 27 peratus daripada pencapaian 2017.
Apa yang Datuk boleh rumuskan dengan kejayaan berterusan dicatatkan JCorp?
Pengukuhan konglomerat Johor ini membolehkan kami secara berterusan melaksanakan tiga peranan dengan berkesan iaitu instrumen pembangunan negeri, entiti bisnes yang menerajui pasaran serta melunaskan tanggungjawab korporat tanpa culas berlandaskan misi ‘Membina dan Membela’. JCorp juga dapat menyumbang kembali sebanyak RM95.12 juta untuk menjalankan pelbagai program tanggungjawab korporat bagi menyantuni komuniti dan kumpulan sasaran termasuk komitmen menjayakan skim Rumah Mampu Biaya Johor.
Pada tahun lalu juga, sumbangan cukai kumpulan kepada kerajaan adalah berjumlah RM396.64 juta, melibatkan RM39.37 juta bagi potongan cukai berjadual (PCB), RM265.11 juta (ansuran CP204), RM57.86 juta (cukai barangan dan perkhidmatan) dan RM34.30 juta (cukai jualan dan perkhidmatan). Angka itu menurun berbanding RM453.69 juta pada 2017 kesan pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 mulai 1 September 2018.
Kejayaan dicatatkan JCorp pada 2018 adalah bukti bahawa kami sentiasa melipatgandakan usaha menjayakan ketiga-tiga agenda itu melalui pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi dan sesungguhnya kedudukan kewangan kumpulan membolehkan JCorp melunaskan obligasi pembayaran kewangan dan menyalurkan sumbangan kepada pembangunan kemasyarakatan.











