PULAU PINANG – Jawatankuasa Fatwa negeri akan menilai dari sudut keselamatan anak kariah dan kehormatan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini sebelum merumuskan keputusan mengenai jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang dikatakan akan menjejaskan kawasan masjid dan tanah perkuburan di situ.
Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, isu itu telah dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada Rabu lalu di mana ia dihadiri oleh pihak kerajaan negeri serta jawatankuasa kariah masjid berkenaan.
“Dari segi aspek keselamatan jemaah masjid, masjid tersebut akan melimpah dengan jemaah pada musim tertentu seperti hari Jumaat dan juga musim perayaan.
“Aspek kedua iaitu kehormatan masjid dan tanah perkuburan pula, kalau projek ini akan menyebabkan kehormatan terjejas maka kita kata tak boleh, namun perbincangan masih lagi dilakukan sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











