JAKARTA – Sebuah universiti di Indonesia menawarkan syarat baharu untuk pelajar diterima masuk ke fakultinya iaitu mereka perlu menjadi bintang laman perkongsian video YouTube terlebih dahulu.
Melalui skim pendaftaran khas itu, Universiti Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) menawarkan kemasukan kepada pengguna YouTube dengan syarat mereka mempunyai saluran sendiri dengan sekurang-kurangnya 10,000 pengikut di samping pernah menghasilkan klip video asli yang mencatatkan lebih 100,000 tontonan.
Mereka yang memenuhi syarat tersebut kemudian akan diuji dengan diminta menghasilkan klip video baharu berdurasi antara tiga hingga lima minit.
Persaingan untuk tempat di universiti tempatan amat sengit di Indonesia, negara keempat paling padat di dunia dengan lebih 260 juta penduduk.
Laman media sosial juga sangat popular di sebahagian besar gugusan kepulauan Indonesia dengan kajian menunjukkan penduduk negara itu meluangkan masa lebih 3 jam untuk melayari internet setiap hari sekali gus antara kadar paling tinggi di dunia.
Bagaimanapun, tawaran itu hanya terbuka kepada mereka yang ingin mengambil jurusan ekonomi, sains sosial dan politik, undang-undang, kejuruteraan serta komputer.
“YouTube adalah media yang bagus untuk menyampaikan mesej positif,” kata Rektor UPNVJ, Erna Hernawati kepada akhbar Jakarta Post, di samping menambah, universiti itu mahu pelajarnya menjadi ‘pengaruh positif kepada masyarakat.’
Dua bintang YouTube paling terkenal di Indonesia, Atta Halilintar dan Ricis, masing-masing mempunyai lebih 15 juta pengikut. – AFP











