KUALA LUMPUR – Kumpulan pendesak, Otai Reformis 1998 kesal apabila tersebarnya gambar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelihatan duduk semeja dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam satu majlis jamuan hari raya semalam.
Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, keadaan itu amat mengecewakan apatah lagi ketika kes video seks sejenis melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang individu yang didakwa mirip Mohamed Azmin sedang disiasat.
“Itu sebab Otai Reformis sarankan Azmin Ali ambil cuti daripada tugasan rasmi.
“Mana mungkin keadilan ditegakkan apabila beliau kelihatan makan minum semeja dengan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara di satu majlis hari raya sedangkan kes video seks masih dalam siasatan pihak polis,” katanya menerusi kenyataan ringkas kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tular dalam media sosial, gambar Mohamed Azmin duduk semeja dengan Tommy dan Abdul Hamid dalam satu majlis jamuan hari raya yang difahamkan berlangsung di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya, semalam.
Yang turut kelihatan dalam gambar tersebut ialah, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Minggu lalu, Otai Reformis 1998 dalam satu sidang akhbar menyarankan agar Mohamed Azmin diberikan ‘cuti rehat’ daripada tugasan rasmi bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap video tersebut.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menegaskan, Mohamed Azmin tidak perlu bercuti selain menyifatkan dakwaan terhadap Timbalan Presiden PKR itu bersifat politik dan percubaan untuk memalukan. – UTUSAN ONLINE.











