LONDON – Paul Pogba mendedahkan dia pernah bertanya kepada dirinya sendiri tentang begitu banyak perkara, sebelum kembali ke jalan Islam dan mengakui kini semakin mendapat ketenangan.
Bintang Manchester United itu, yang berkunjung ke kota suci Mekah sewaktu Ramadan lalu, tidak dibesarkan sebagai seorang Muslim, meskipun ibunya merupakan penganut agama Islam.
Bagaimanapun, selepas mengharungi tempoh yang sukar, Pogba membuat keputusan untuk mencari agama dan mengikut jejak langkah teman-temannya dengan kembali ke jalan Islam. Pemain tengah itu, yang masih menjadi sasaran Real Madrid, musim panas ini, melahirkan rasa syukur kerana keputusan itu telah membantunya menjadi insan yang lebih baik.
Ketika ditanya apakah makna kepadanya menjadi seorang Muslim, sewaktu ditemubual oleh The Times, Pogba berkata: “Segala-galanya. Agama telah mengajar saya erti bersyukur untuk segala-galanya. Ia memberi kesedaran kepada saya tentang kehidupan. Mungkin saya berasakan Islam telah memberikan saya lebih ketenangan.
“Ia satu perubahan baik kepada kehidupan saya kerana saya tidak dilahirkan sebagai seorang Muslim, walaupun ibu saya beragama Islam. Saya cuma membesar begitu sahaja, hormat kepada semua orang.
“Islam bukan agama keganasan, seperti mana yang orang lain lihat. Apa yang kita dengar dalam media ia sesuatu yang berbeza. Islam adalah agama yang indah. Anda perlu mendekatinya. Semua orang boleh menemui jalan yang mana mereka dapat merasai kaitan dengan Islam.”
Selepas melengkapkan musim yang mengecewakan bersama United, Pogba, bersama pertahanan Chelsea, Kurt Zouma telah menziarah Mekah, bulan lalu. Dalam kunjungan terbarunya itu yang juga bukan kali pertama Pogba berbuat demikian, jauh sekali berbeza dengan kehidupan yang dilaluinya ketika bercuti di Los Angeles bersama Romelu Lukaku pada 2016 dan 2017.
Sewaktu diajukan pertanyaan mengapa memilih jalan untuk menjadi seorang Muslim ketika berusia 20-an, Pogba yang tidak mengambil alkohol dan mempunyai seorang anak bersama teman wanitanya, Maria Salaues berkata: “Ia hadir kerana saya mempunyai ramai kawan Muslim. Kami sering berbual.
“Saya pernah bertanya kepada diri saya tentang banyak perkara, dan selepas itu, saya mula melakukan penyelidikan. Saya pernah bersolat bersama sahabat saya dan berasakan sesuatu yang berbeza. Saya berasa sangat tenang.
“Sejak itu, saya cuma teruskan amalan tersebut. Anda perlu solat lima waktu sehari, ia merupakan tiang kepada agama Islam. Ia sesuatu yang wajib anda lakukan. Makna di sebalik mengapa anda lakukannya ialah anda memohon keampunan dan bersyukur di atas segala yang anda miliki, seperti kesihatan dan banyak lagi.
“Agama telah membuka minda saya dan ia mungkin menjadikan saya insan yang lebih baik. Anda akan lebih memikirkan tentang kehidupan selepas mati. Kehidupan ini hanyalah ujian. Sebagai contoh, apabila saya bersama anda, di sini.
“Walaupun anda bukan seorang Muslim, anda adalah insan biasa. Anda mempunyai hubungan sesama manusia dan menghormati siapa anda, apa agama anda, warna kulit anda dan segala-galanya. Itulah Islam, menghormati sesama manusia dan segala-galanya.” – AGENSI











