KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan undang-undang sesebuah negara akan pincang, jika anggota dan perkhidmatan polis boleh dibeli menerusi rasuah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, jika Malaysia mahu sampai ke tahap negara yang maju, semestinya perlu mempunyai sistem perkhidmatan kepolisan yang baik dan setimpal.
“Kita lihatlah negara-negara yang maju seperti di Eropah, Jepun, Korea, Hong Kong, bagaimana polis memberikan perkhidmatan yang baik kepada negara mereka.
“Sehubungan itu, cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) harus berjalan serentak, iaitu dengan apa yang diberi oleh perkhidmatan polis dan menyediakan hak-hak warga pasukan keselamatan itu,” katanya dalam temuramah ekslusif bersama Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, IPCMC mula disuarakan selepas tahun 2015, apabila ada suara-suara yang berkehendakkan satu bentuk siasatan dijalankan ke atas PDRM, berikutan terlalu banyak aduan dan salah laku.
Jelasnya, meskipun pelbagai kritikan dilakuakn namun secara peribadi, beliau melihat suara-suara yang mengkritik ini memang ada asasnya, tetapi di waktu itu juga pihaknya merasai bahawa PDRM ini perlu diberikan haknya, sebagaimana dalam kontrak kami dengan kerajaan.
“Kerajaan menawarkan kami skim perkhidmatan sebegini, kerajaan menawarkan suasana kebajikan begini, kerajaan akan menyediakan prasarana begini, jadi kedua-dua ini akan berjalan dengan serentak.
“…iaitu PDRM dibela dan diberikan hak-haknya sebagai agensi penguatkuasa utama negara ini, dan pada waktu sama menjadi tanggungjawab PDRM memberikan kepada rakyat, orang ramai perkhidmatan yang terbaik, sebagaimana yang ditetapkan undang-undang itu sendiri,” katanya.
Tambah Abdul Hamid, adalah tidak tepat mengatakan bahawa rayuan dalam PDRM berhubung IPCMC itu, begitu sentimental dan emosional.
“Bagaimanapun warga PDRM harus faham dan sedar bahawa mereka diberikan gaji, kuasa serta pelbagai kemudahan, dan sebagai balasannya mereka diwajibkan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik,” jelasnya.- BERNAMA











