PARIS Jun – Rafael Nadal menyifatkan sebarang prospek untuknya menjuarai Terbuka Perancis malam ini bakal menjadi impian terhebat dalam kariernya yang sejak kebelakangan ini sering dihantui masalah kecederaan yang berulang.
Kata pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu, beliau mengakui peluang untuknya merangkul kejuaraan ke-12 di Roland Garros dan gelaran Grand Slam ke-18 itu cukup cerah ketika ini tetapi bimbang kecederaan sekali lagi akan memusnahkan impian terhebatnya itu.
Sambil menegaskan bahawa dirinya tidak boleh terlalu yakin, Nadal juga mengetahui dia tidak boleh langsung memandang rendah keupayaan lawannya di final nanti iaitu pemain Austria, Dominic Thiem, 25, yang mengejutkan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic di separuh akhir sebelum ini.
“Memang rasa hebat dapat kembali ke final di sini. Saya anggap ia terlalu istimewa kali ini dan sukar diungkap dengan kata-kata. Memandangkan sudah berada di final, kalau anda tanya saya ia yang terhebat atau tidak, kemungkinan tiada hari lain seperti ini untuk melakukan sesuatu yang bermakna,” katanya.
Nadal sebelum ini kerap bergelut dengan kecederaan seperti di lutut dan pergelangan tangan sehingga menyaksikan dia terlepas lapan kejohanan Grand Slam sepanjang kariernya. Ini termasuk kecederaan di pergelangan tangan yang memaksanya menarik diri pada 2016 di Roland Garros dan terpaksa melupakan terus Wimbledon ketika itu.
Berdasarkan rekod pertemuan, Nadal masih di depan Thiem dengan 8-4 tetapi kali terakhir mereka bertemu, pemain Austria yang lapan tahun lebih muda daripadanya itu menang di separuh akhir Terbuka Barcelona pada April lalu.
Kali terakhir Nadal menang ke atas Thiem pula ialah di suku akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu tetapi dia memerlukan lima set untuk menjinakkan lawannya itu. – AFP











