KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham menasihatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mendakwa dirinya dalam video intim bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet untuk berjumpa dengan ahli keluarganya selepas tular rakaman video itu dalam laman sosial.
Memetik laporan portal Keadilan Daily, beliau berkata, maruah keluarga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong penting untuk dijaga apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.
“Haziq juga meminta pandangan saya untuk beliau bertemu keluarganya bagi mendapatkan pandangan. Saya bersetuju dan meminta beliau bersabar.
“Malah, saya menasihatkan beliau bahawa dalam menghadapi fitnah begini, keluarga adalah elemen penting yang harus dipelihara perasaan dan maruahnya,” jelas laporan itu, hari ini.
Tambah laporan itu, pertemuan antara Hilman dan Haziq dilakukan sebuah Restoran Zest Coffee House, Marriot Hotel di Putrajaya.
Jelas laporan berkenaan, pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi Hilman tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Haziq telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, semalam.
Penahanan itu dibuat berikutan pengakuan Haziq Abdullah bahawa dia adalah individu dalam video seks tersebut.
Rabu lepas, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan beliau dan memusnahkan karier politiknya. – UTUSAN ONLINE











