KUALA LUMPUR – Tiada sebarang halangan dikeluarkan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam video intim bersama lelaki mirip seorang menteri selepas dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.
Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya bebas untuk ke mana sahaja termasuk ke luar negara.
“Haziq Abdullah hanya akan dipanggil pihak polis jika ada keperluan untuknya membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai keadaan Haziq Abdullah selepas ditahan, Ramesh berkata, anak guamnya dilihat ceria dan memberi kerjasama baik kepada polis.
Tambahnya, Haziq Abdullah turut memaklumkan dirinya dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang ditahan sejak malam semalam.
“Cuma buat masa ini dia memerlukan waktu untuk rehat dan belum bersedia untuk bertemu dengan wartawan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











