Hayati 'Tertib' dan 'Santun' - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Hayati ‘Tertib’ dan ‘Santun’ – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘Tertib’ dan ‘Santun’ merupakan ciri dan elemen Adat Melayu yang harus dihayati.

Tertib ditakrifkan sebagai ‘peraturan yang baik yang patut diturut’ dan membawa kepada ‘makna mengikut peraturan atau susunan yang telah ditetapkan’ serta ‘teratur dengan rapinya’.

Manakala ‘santun’ membawa kepada makna ‘halus budi pekerti dan beradab’. Santun juga adalah manisfestasi kepada ‘rasa belas kasihan terhadap orang lain selain suka menolong’. Bahkan orang yang penyantun adalah ‘orang yang halus budi bahasanya’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika diamati, orang yang mempunyai sifat tertib dan santun, adalah merupakan seorang yang sentiasa mengikut peraturan yang baik serta mempunyai peribadi halus, berbudi bahasa, suka menolong dan sentiasa belas kasihan kepada orang lain. Inilah lambang ketinggian adat dan budaya Melayu. Ia wajar ditanam, dibajai dan disuburkan agar membuahkan kebaikan yang berpanjangan, ” titah baginda ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis sidang kedua bagi tahun 2019 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kangar, semalam.

Turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa dalam hubungan ini, MAIPs wajarlah menekankan elemen ‘tertib’ dan ‘santun’ dalam setiap kerja buatnya.

“Pengurusan MAIPs haruslah sentiasa menjunjung tinggi undang-undang yang telah ditetapkan. Sesuatu peraturan yang telah diputuskan sekiranya baik demi kepentingan umum, hendaklah diikuti dengan tertib dan tersusun.

“Warga Pengurusan MAIPs hendaklah komited mempertahankan prinsip ‘Berani Kerana Benar’ selain mengikut peraturan yang telah ditetapkan bak kata pepatah ‘Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung’,” titah baginda lagi.

“Elemen kehalusan budi pekerti dan beradab mestilah menjadi amalan warga Pekhidmat Majlis.

“Walaupun berkemungkinan berhadapan dengan sesuatu keadaan sukar seperti dipersalahkan, diada-adakan sesuatu cerita yang tidak benar, tulisan negatif yang sengaja ditularkan dan sebagainya, MAIPs hendaklah terus komited berbakti dan menyantuni komuniti,” titah baginda.

Di mesyuarat tersebut, pembuat tengkolok terkenal dalam kalangan kerabat DiRaja Perlis dan juga untuk majlis-majlis rasmi negeri sejak tahun 1965, Abdul Razak Embong,78, yang merupakan bekas petugas Istana Arau diundang untuk memberi penerangan mengenai ikatan tengkolok Perlis kepada ahli-ahli mesyuarat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini