KUALA LUMPUR – Tugas berat menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk merebut tempat dalam kelompok pendahulu, setelah anak muda itu sekadar mencatat masa ke-21 terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix Catalunya di Barcelona, hari ini.
Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu mencatat masa sepusingan 1 minit 40.839 saat (s), manakala pelumba Perancis, Fabio Quartararo yang bernaung di bawah pasukan Malaysia, Petronas Yamaha SRT mencipta masa terpantas 1:39.484s untuk menempah petak pertama.
Juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda berada di kedudukan kedua setelah melakar masa sepusingan 1:39.499s, manakala, penunggang Yamaha, Maverick Vinales melengkapkan saingan kelayakan di tangga ketiga menerusi catatan masa 1:39.710s.
Hafizh dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman web pasukannya berkata, secara keseluruhan, dia berada sangat selesa sepanjang sesi kelayakan, hari ini.
“Kami berada begitu hampir dengan pelumba di depan dan saya berharap kami dapat mencari rentak kelajuan yang baik untuk perlumbaan, esok. Sekarang kami perlu memutuskan sama ada untuk menggunakan tayar lembut ataupun pertengahan bagi perlumbaan nanti.
“Pada ketika ini, kami masih 50-50, jadi kami akan membuat keputusan selepas sesi pemanas badan pada sebelah pagi esok. Saya berharap kami dapat mempamerkan persembahan yang baik dalam saingan sebenar.
“Apa yang penting saya perlu menikmati keseronokan beraksi dan tidak melakukan kesilapan atau berasa sebarang tekanan. Kita lihat nanti apa yang boleh kita lakukan pada Ahad,” kata Hafizh. – UTUSAN ONLINE











