KUALA LUMPUR – Gudang Produk Polimer di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) telah diiktiraf sebagai ‘gudang clad-rack berautomasi terbesar’ di negara ini oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Dalam satu kenyataan semalam, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) berkata, gudang berkenaan mempunyai ciri inovasi teknologi Sistem Perolehan Semula dan Penyimpanan Automatik (ASRS) dan merupakan gudang automatik sepenuhnya yang pertama di Asia Tenggara untuk industri petrokimia.
“Ia merupakan kemudahan terbesar dan tertinggi seumpamanya di Malaysia dengan ukuran lebih 40 meter tinggi, 134 meter lebar serta 171 meter panjang.
“Gudang itu juga berkeupayaan untuk menampung inventori simpanan untuk 21 hari atau 127 kilo tan metrik produk polimer dan berada di posisi terbaik untuk menyokong pengeluaran tahunan PIC yang dijangka berjumlah 3.3 juta tan metrik setahun bagi produk petrokimia apabila kompleks itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery dan Petrochemical Corporation Sdn. Bhd., Dr. Colin Wong Hee Huing berkata, dengan pengiktirafan terbaru itu, PIC telah memperoleh sembilan rekod kebangsaan dalam pelbagai kategori. – Bernama











