KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu mengambil langkah proaktif bagi menyekat harga simen daripada terus meningkat sehingga 50 peratus.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana ia akan menjejaskan industri pembinaan seterusnya membebankan kehidupan masyarakat.
Kata beliau, projek pembinaan akan bermula berdasarkan harga simen sebelum penetapan harga dan tanda tangan kontrak dilakukan.
“Kenaikan harga simen sehingga 50 peratus akan mengakibatkan industri dan pemaju pembinaan mengalami kerugian yang serius.
“Jika harga simen terus meningkat, golongan pemaju pula tidak boleh meningkatkan harga projek, sudah tentu mereka akan berhadapan dengan kerugian yang serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani kenaikan harga simen.
Kata beliau, kenaikan harga secara mengejut itu dipercayai berpunca daripada pembelian syarikat pengeluar simen, Pengeluar simen Lafarge Malaysia Bhd. (LMB) oleh YTL Cement Berhad dan langkah Kumpulan Hong Leong membeli syarikat Tasek Cement, bulan lalu. – UTUSAN ONLINE











