Gangguan air lagi di Klang, Kuala Langat - Utusan Malaysia

Gangguan air lagi di Klang, Kuala Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Ribuan pengguna di 84 buah kawasan sekitar Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di jajaran paip utama 1,800 millimeter (mm) di Setia Alam di sini.

Gangguan ini adalah kedua selang hampir sebulan apabila tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping pecah pada 5 Mei lalu.

Kawasan terjejas adalah Ambang Botanik, Armada Putera, Bandar Bestari, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1, Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Klang (Batu 1 – 3 Jalan Meru), Bandar Parkland, Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Glenmarie Cove, Glenn Cruise, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Jalan Dato Hamzah dan Jalan Istana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut mengalami nasib sama adalah penduduk di 22 kawasan di sekitar Kuala Langat seperti Batu 7, 8, 9 Sijangkang, Jalan Puyuh, Taman Desa Sijangkang, Taman Medan Indah dan Taman Seri Medan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad dalam kenyataan hari ini, memaklumkan gangguan bekalan air itu akan berlaku secara berperingkat.

Katanya, lori-lori tangki air akan digerakkan di kawasan terjejas dan mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) pukul 3 petang hari ini.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan di kenyataan itu punca paip tersebut pecah.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan ekoran insiden yang tidak dijangkakan ini dan akan mengambil segala usaha dan tindakan perlu mempercepatkan kerja pembaikan dan meminimumkan impak gangguan.

“Status terkini dan butiran lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Justeru, Abdul Raof menjelaskan sebarang maklumat boleh dirujuk di laman sesawang www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor serta Facebook Air Selangor. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini