Formula ajaib tangani gejala LGBT? - Utusan Malaysia

Formula ajaib tangani gejala LGBT?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH itu teknik root cause analysis (analisis akar umbi)? Adakah teknik yang lebih dikenali dengan singkatan RCA satu formula ajaib bagi menangani perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini?

RCA adalah teknik yang digunakan dalam bidang sains dan kejuruteraan bagi menyelesaikan masalah. Kaedahnya adalah untuk mencari punca utama kenapa sesuatu masalah itu berlaku.

Setelah mengenal pasti punca masalah, barulah dicari kaedah-kaedah bagi mengelak masalah berkenaan berulang semula pada masa hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam isu LGBT, sehingga kini belum terdapat kajian benar-benar serius oleh agensi kerajaan yang menggembleng ahli sains dan pakar dalam bidang lain bagi mengenal pasti akar umbi yang menjadi punca perlakuan itu. Yang ada hanya larangan berdasarkan hujah-hujah yang terdapat dalam kitab agama.

Sebab itu, Mahkamah Tinggi India pada 6 September 2018 telah memutuskan Seksyen 377, Kanun Keseksaan yang melarang hubungan homoseksual sebagai bertentangan dengan hak kebebasan individu.

Keputusan itu menghalalkan perlakuan homoseksual di India. Seksyen 377 yang diperkenalkan penjajah Inggeris sejak 1861 sering dikecam pejuang hak asasi India kerana dikatakan penggubal undang-undang itu terlalu dipengaruhi fahaman agama Kristian sedangkan majoriti penduduk sejak zaman kuno bersikap toleransi terhadap LGBT.

Antara hujah bagi membuktikan sifat tolak ansur itu adalah kewujudan kuil kuno, Khajuraho di Chhatarpur, Madhya Pradesh, India, yang penuh dengan patung-patung dengan aksi memaparkan perlakuan seks LGBT.

Berdasarkan hujah itu, kita boleh menolak dakwaan pengaruh filem Hollywood sebagai puncanya kerana perlakuan LGBT telah lama berlaku sebelum kewujudan industri filem berkenaan lagi.

Apakah punca LGBT sehingga seseorang itu sanggup meneruskan gaya hidup luar tabii itu walaupun tahu mereka akan dikecam masyarakat sekeliling?

Jika ditanya, mereka yang terlibat dengan LGBT akan menyatakan perlakuan itu bukan pilihan, sebaliknya adalah bersifat semula jadi kerana telah dilahirkan seperti itu.

Punca LGBT adalah persoalan besar yang belum terjawab walaupun ahli sains sudah lama melakukan kajian bagi mencari jawapannya.

Kajian berkenaan tertumpu dari segi fizikal termasuk genetik. Antara yang mengkajinya ialah Profesor Psikiatri Universiti Toronto, Kanada, Ray Blanchard.

Bagaimanapun, tiada jawapan konkrit ditemui walaupun kajian ahli sains lain pada 1991 mendapati satu bahagian otak dikenali dengan nama hypothalamus yang mengawal pengeluaran hormon adalah lebih kecil dalam kalangan golongan homoseksual berbanding lelaki yang mempunyai orientasi seks normal.

Cukup menarik untuk diulas adalah dakwaan ahli psikiatri Amerika Syarikat, Brian L. Weiss bahawa permasalahan LGBT berpunca daripada jiwa seseorang itu yang cenderung kepada jantina bertentangan dengan bentuk fizikal sedia ada.

Jelas beliau, perlakuan itu berpunca daripada faktor bukan fizikal. Ia disebabkan masalah yang berlaku pada masa dan tempat lain yang tiada kaitan dengan waktu sekarang. Adakah dakwaan itu benar? Sama-samalah kita mencari jawapannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini