Flos gigi dan penyakit jantung - Utusan Malaysia

Flos gigi dan penyakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pasti semua pembaca telah kembali kepada rutin harian dan tugasan hakiki selepas berlalunya dua minggu Syawal. Namun, memori menjamah rendang daging, lodeh dan ketupat bersama sahabat-handai dan keluarga masih kuat di ingatan.

Ramai juga yang menggu­nakan ayat cheat day, off diet, `hari raya setahun sekali, maka perlulah makan sepuasnya’. Malah saya sendiri menggunakan alasan tersebut. Apa pun makanan yang tinggi kandungan minyak, santan, gula dan garam apabila diambil dalam kadar yang banyak serta tidak terkawal boleh menyebabkan masalah antaranya seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan obesiti.

Umum juga sedia maklum bahawa corak pemakanan dan cara hidup adalah punca utama datangnya beberapa penyakit seperti yang disebut di atas terutamanya penyakit jantung. Spesifiknya penyakit jantung koronari iaitu saluran arteri jantung mengecil dan tersumbat akibat deposit plak dan pengenduran arteri itu sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tentang penyakit jantung, saya bukan pakarnya tetapi terpanggil untuk bercerita mengenai kaitan `tidak flos gigi penyebab kepada penyakit jantung’. Mungkin juga perkara ini boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa panik pada umum.

Flos adalah satu tali nipis yang digunakan membersihkan plak dan menarik sisa makanan yang tersangkut pada celah gigi dan bawah gusi. Lazimnya, doktor gigi menyarankan penggunaan flos sekurang-kurangnya sekali sehari pada waktu malam untuk memastikan gigi bersih secara menyeluruh.

Flos boleh digunakan sebelum atau selepas memberus gigi tetapi pilihan peribadi saya adalah flos, memberus gigi dan kemudian menggunakan ubat kumur sebagai pelengkap rutin sebelum tidur.

Sememangnya menjadi kewajipan setiap individu menjaga kebersihan gigi daripada plak dan makanan setiap hari bagi mengekalkan gigi dan gusi sentiasa sihat. Plak yang kandungan utamanya bakteria akan berkumpul pada permukaan gigi dan bawah gusi. Keadaan ini boleh menyebabkan gusi terinflamasi dengan ciri-ciri seperti berikut, gusi merah, membesar dan bengkak, senang berdarah, mungkin bernanah serta berbau busuk.

Lazimnya, masalah gusi ini adalah masalah setempat dan tidak merebak ke organ lain kerana bakteria yang berkolonisasi dalam plak adalah bakteria umum dalam mulut iaitu S Mutans.

Namun dalam keadaan pesakit yang memang sedia ada mempunyai masalah jantung dan imunisasi terkompromi iaitu penyakit jantung reumatik, penyakit jantung kongenital, injap jantung palsu, pesakit haemodialisis, perentak jantung digital dan penagih dadah intravena terdapat risiko iaitu bakteria S Mutans yang banyak berkumpul akan masuk ke salur darah menuju ke lapisan dalam jantung terutamanya injap jantung hingga menyebabkan infective endokarditis. Penyakit ini dicirikan dengan demam, terlalu penat, pendarahan dalam kulit dan bunyi `murmur’ pada jantung seterusnya boleh mengalami komplikasi kegagalan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Pada pesakit-pesakit yang saya sebutkan ini penting untuk mereka menjaga kesihatan mulut dan kebersihan oral dengan optimum untuk mengelakkan komplikasi bakterimia yang berpunca daripada oral kaviti ke salur darah. Sehubungan itu, berjumpalah doktor gigi setiap tiga hingga enam bulan untuk pemeriksaan serta rawatan gigi susulan. Segala-galanya akan dijalankan di bawah pengawasan rapi melalui lindungan profilaksis antibiotik sebelum dan selepas rawatan bagi mengurangkan risiko infective endocarditis.

Kesimpulannya, penjagaan kebersihan gigi amat penting dan lebih kritikal kepada mereka yang mempunyai penyakit seperti disebutkan di atas. Tahi gigi atau plak bukan penyebab penyakit jantung tetapi pada pesakit yang memang ada masalah jantung rentetan daripada kurang cakna terhadap kebersihan gigi mungkin boleh menjadi penyebab kepada komplikasi yang tidak diingini.

Jadi, nasihat saya, berus gigi dua kali sehari. Flos setiap hari dengan teliti yang mana rutin ini adalah mudah dan tidak mengambil masa lama. Tujuannya untuk mengelakkan masalah dan kemungkinan risiko penyakit lain menyinggah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini